LAWAS, 25 Ogos 2025 - Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Lawas diumumkan sebagai Pusat Latihan Serantau bagi membuka peluang pelajar-pelajar yang berjiran dengan Sarawak seperti Sabah dan negara Brunei untuk mendapatkan latihan kemahiran yang spesifik.
Perkara tersebut diumumkan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak yang juga selaku Pengerusi Yayasan Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg ketika merasmikan CENTEXS Lawas pada Isnin.
"Kita bersetuju supaya CENTEXS Lawas menjadi Pusat Latihan Serantau, kerana kita banyak kawan kita, jiran kita iaitu Brunei, Sabah, atau mungkin di luar lagi dari Brunei dan Sabah.
"Dimana kita memberikan latihan (kemahiran) spesifik kepada para pelajar di sini, bukan sahaja untuk orang Lawas tetapi universal," katanya dalam ucapan perasmian CENTEXS Lawas.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut mengucapkan tahniah buat masyarakat Lawas dan juga kawasan sekitarnya kerana berjaya untuk menubuhkan satu institusi latihan (CENTEXS) yang sesuai dengan kehendak pembangunan yang sedang berjalan di Sarawak.
"Hala tuju Gabungan Parti Sarawak (GPS) dibawah Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 ialah untuk pembangunan bakat yang ada dalam kalangan anak-anak Sarawak.
"Yang keduanya, kelestarian alam sekitar, kalau kita nak jaga alam sekitar kita mesti ada ilmu dan ilmu ialah dari sudut latihan, sekolah rendah, menengah, universiti dan seterusnya pusat latihan, institusi maju dan teknologi maju. Inilah yang dikejar oleh kita semua termasuk di Lawas ini.
"Dan CENTEXS Lawas hari ini saya rasa menjadi pembuka jalan kepada pembangunan sumber manusia di kawasan utara Sarawak," ujar beliau.
Terdahulu, usai tiba Premier Sarawak di kampus ini, beliau dibawa melawat ke Green Asphalt Tesbed yang merupakan satu projek yang pertama kali dijalankan di Sarawak iaitu pembinaan jalan raya menggunakan bahan-bahan plastik terbuang.
Kemudiannya, beliau turut dibawa melawat ke blok-blok kelas dan bengkel serta beramah mesra bersama peserta-peserta terdiri daripada masyarakat sekitar yang mengikuti Program Jangkauan Teknologi Komuniti (CTOP) antaranya yang mengikuti program berkaitan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Pada majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara CENTEXS dan Sarawak Media Group (SMG).
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Haji Awang Tengah Bin Ali Hasan; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn; Pengerusi CENTEXS Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani; Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail; Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Harun bin Durabi; Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong dan Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS Dato Haji Syeed Mohd Hussien bin Wan Abdul Rahman.